TAK JAMIN HARGA TIDAK NAIK MENJELANG DEEPAVALI

TAK JAMIN HARGA TIDAK NAIK MENJELANG DEEPAVALI

JOHOR BAHRU 091120 – Bekalan keperluan semasa di negeri ini mencukupi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full menegaskan tiada jaminan bahawa tidak berlaku kenaikan harga menjelang sambutan Deepavali.

“Walaupun Deepavali pada 14 November ini disambut dalam tempoh PKPB, perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2020 wajar dibuat memandangkan permintaan terhadap barang keperluan dijangka meningkat berbanding bukan pada hari perayaan.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengenal pasti 20 jenis barangan untuk ditentukan harga maksimum bagi perlaksanaan SHMMP, antaranya ayam, telur ayam, daging kambing, kelapa, kelapa parut, timun dan kacang panjang.

“Kesemua barangan ini mendapat permintaan tinggi oleh masyrakat yang menyambut perayaan. Oleh itu, kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalan di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, penentuan harga maksimum pengeluar, pemborong dan peruncit dibuat mengikut kewajaran serta kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan.

“Bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah, tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan secara mendadak dan ketara,” katanya.

Fat Full berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP negeri akan meningkatkan pemeriksaan serta pemantauan di lokasi tumpuan pembeli seperti di pasar awam, pasar tani dan pasar raya bagi memastikan bekalan barangan adalah mencukupi dan harga berpatutan.

“Pengguna juga digalakkan untuk membeli barangan keperluan secara dalam talian menerusi Program Jualan Makmur Johor (JMJ), program kerjasama antara kerajaan negeri dengan syarikat Shopee.

“JMJ ini memberi peluang kepada rakyat untuk membeli barang keperluan asas dan harian pada harga yang lebih rendah dan berpatutan. Dengan setiap pembelian minimum RM60, pengguna akan menerima rebat sebanyak RM20 dan penghantaran adalah percuma,” katanya.

Katanya, perlaksanaan SHMMP Deepavali 2020 mulai hari ini hingga 17 November ini bertujuan memastikan harga barangan terpilih adalah terkawal dengan penetapan harga siling melibatkan penjualan di pasar basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan.

Pengguna di negeri ini juga boleh mengemukakan aduan berkaitan isu harga sepanjang PKPB dan SHMMP Deepavali 2020 menerusi talian 03- 8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), talian 1800 886 800, aduan WhatsApp KPDNHEP di talian 019-279 4317, emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau hadir ke mana-mana pejabat cawangan KPDNHEP di seluruh negeri. – VOICE

https://www.facebook.com/johortimes.my/videos/3494940183955382/

https://www.facebook.com/johortimes.my/videos/414484186390723/

https://www.facebook.com/johortimes.my/videos/2618275885102103/

(Visited 18 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

%d bloggers like this: