SUAMI PUN RAMAI JADI MANGSA KEGANASAN RUMAH TANGGA – EXCO

SUAMI PUN RAMAI JADI MANGSA KEGANASAN RUMAH TANGGA – EXCO

SHAH ALAM 091120 – Lelaki dikenal pasti sebagai mangsa dalam 30 daripada sejumlah 254 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Selangor sejak Januari hingga September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata jumlah kes terbabit adalah berdasarkan statistik diperoleh daripada Unit Perundangan dan Penguatkuasaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

“Daerah Hulu Langat merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 70 kes, diikuti Gombak (34), Subang Jaya (31), Klang (29) serta kawasan lain (90).

“Daripada jumlah keseluruhan itu, mangsa dalam 224 kes membabitkan wanita, manakala 30 lagi lelaki,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, keganasan rumah tangga yang paling banyak dilaporkan ialah menyebabkan kecederaan atau mencederakan mangsa secara fizikal, iaitu sebanyak 119 kes.

Beliau berkata, ia disusuli 71 kes dengan sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal, selain 50 kes pelaku melakukan penderaan psikologi dan emosi terhadap mangsa.

“Kes keganasan rumah tangga juga dilihat meningkat secara mendadak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia berkemungkinan disebabkan tekanan yang dialami akibat PKP,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah memaklumkan, kerajaan negeri bekerjasama dengan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA) dalam Program Komuniti Selamat Bersepadu.

Beliau berkata, ia bagi menyediakan keperluan seperti perubatan, tempat tinggal, pengangkutan dan makan minum kepada mangsa keganasan rumah tangga.

“Sepanjang tempoh April hingga Jun lalu, seramai 31 individu (mangsa keganasan rumah tangga) dilindungi membabitkan wanita, kanak-kanak lelaki dan perempuan, serta bayi lelaki dan perempuan,” katanya. – BH

https://www.facebook.com/johortimes.my/videos/163084475504451/

https://www.facebook.com/johortimes.my/videos/176414677475601/

https://www.facebook.com/johortimes.my/videos/195243495536694/

(Visited 20 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

%d bloggers like this: