BENARKAN WANG AKAUN 1 KWSP DIKELUARKAN RM1,000 SEBULAN

BENARKAN WANG AKAUN 1 KWSP DIKELUARKAN RM1,000 SEBULAN

PASIR GUDANG 031120 – Kerajaan perlu membenarkan wang caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan, namun secara bersyarat minimum RM1,000 setiap bulan selama 10 bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang berkata, cadangan itu wajar diberi perhatian dalam usaha meringankan beban rakyat yang sedang dihimpit kesusahan akibat COVID-19.

“Wang ini boleh digunakan untuk membayar ansuran rumah atau kereta mereka kerana ketika ini ada yang berdepan masalah membayarnya.

“Mungkin pengeluaran boleh dibuat secara bulanan agar wang berkenaan tidak disalahgunakan. Jika tidak berbuat demikian kita bimbang timbul masalah lain seperti rumah ditarik pihak bank.

“Ini akan menimbulkan masalah seperti rakyat akan menjadi gelandangan kerana tiada rumah,” katanya selepas Program Santuni Rakyat di Taman Tanjung Puteri Resort, di sini hari ini.

Dalam program tersebut beliau menyampaikan sumbangan perbadi dan Persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan Orang Kurang Upaya Johor Bahru kepada dua beradik di taman berkenaan yang menghidap sakit saraf.

Perdana Menteri sebelum ini berkata, cadangan itu sukar untuk dipertimbangkan kerana bertujuan sebagai simpanan hari tua dan jika dikeluarkan, akan memberi masalah lebih besar pada masa depan.

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri berkata, bagaimanapun cadangan tersebut tertakluk kepada kemampuan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakannya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan membantu mangsa pencemaran Sungai Kim Kim yang paling teruk iaitu Irfan Wafiy Idham Wazir, 13, bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Pihaknya perlu meneliti dan menyiasat terlebih dahulu perkara tersebut kerana sebelum ini semasa pencemaran itu berlaku, kerajaan yang memerintah di Johor pada masa itu adalah Pakatan Harapan (PH).

Mengenai program berkenaan, beliau berkata, seramai 100 penerima terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) di beberapa kawasan menerima bantuan barang keperluan harian selain mengikut keperluan mereka.

Katanya, sejumlah RM9,000 diperuntukkan dalam program itu untuk meringankan beban keluarga OKU berkenaan, antaranya di Taman Tanjung Puteri Resort, Kampung Pasir Putih dan Taman Pasir Putih. – JT

(Visited 24 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

%d bloggers like this: