BENAR LEBIH RAMAI KELUAR @KWSPMalaysia

BENAR LEBIH RAMAI KELUAR @KWSPMalaysia

KUALA LUMPUR 071120 – Kerajaan wajar mempertimbangkan lebih banyak kategori pencarum yang dibenarkan mengeluarkan simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu mereka ketika pandemik COVID-19.

Ia akan membantu lebih ramai rakyat terutama mereka yang miskin bandar serta tidak membebankan kewangan negara.

Penganalisis Ekonomi, Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata antara kriteria yang boleh dipertimbangkan adalah pemohon mempunyai jumlah wang yang mencukupi dalam Akaun 1, selain menilai daripada aspek komitmen atau pendapatan lebih guna bulanannya.

“Setakat ini, KWSP belum mengeluarkan syarat terperinci bagi permohonan pengeluaran Akaun 1, kalau boleh ada ruang ia diperluaskan kerana ia boleh dimanfaatkan oleh lebih ramai ahlinya, memandangkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam, cuma 600,000 pencarum terjejas akan dibantu melalui inisiatif ini.

“Saya juga berpandangan tidak ada masalah untuk memperluaskan kategori pencarum kerana ia tidak memberikan impak pada kerajaan,” katanya.

Dalam Belanjawan 2021 semalam, kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan dan permohonan boleh dibuat mulai Januari 2021 dengan jumlah maksimum RM6,000.

Ahmed Razman berkata, selain membantu golongan yang hilang punca pendapatan, pencarum miskin bandar termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40) antara kelompok yang boleh dipertimbangkan.

“Jika pendapatan lebih guna mereka sedikit, jadi berilah ruang untuk pengeluaran Akaun 1, ini berikutan ada dalam kalangan penduduk kumpulan M40 di bandar walaupun gaji mereka besar, terpaksa membayar komitmen bulanan yang tinggi.

“Ini tidak termasuk pencarum yang ada anak ramai dan mungkin pasangan mereka tidak ada pekerjaan.

“Pengeluaran Akaun 1 ini penting bagi memastikan mereka ada pendapatan lebih guna setiap bulan,” katanya.

Beliau turut berkata, kelulusan bagi pengeluaran KWSP itu dikekalkan secara bulanan bagi memastikan pencarum tidak menggunakan wang berkenaan bagi tujuan yang tidak sepatutnya dan mampu menguruskan kewangan keluarga secara tersusun.

Menyentuh gesaan segelintir peniaga yang mengharapkan pengeluaran sekali gus untuk digunakan sebagai modal perniagaan, beliau berkata, ia tidak sesuai dan agak tersasar daripada matlamat asal kerajaan.

“Ada banyak peruntukan lain disediakan kerajaan bagi membantu dan membimbing peniaga mikro yang boleh dimanfaatkan, tidak sesuai untuk ambil peruntukan KWSP ini kerana ia lebih kepada membantu meringankan beban bulanan komitmen pencarum.

“Ada banyak perkara perlu diambil kira antaranya risiko kesihatan yang mungkin lebih meruncing pada tahun depan, jadi perlu teliti kesesuaian untuk berniaga,” katanya – BH

https://www.youtube.com/watch?v=r6vX38l81PE
(Visited 30 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

%d bloggers like this: