KELINDAN MAUT, PEMANDU PARAH DALAM KEMALANGAN

KELINDAN MAUT, PEMANDU PARAH DALAM KEMALANGAN

TANGKAK 051120 – Kelindan lori Isuzu tiga tan maut selepas merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 149.2, Lebuhraya Utara-Selatan, arah Selatan, Bukit Gambir di sini hari ini.

Kemalangan pada pukul 6.43 pagi itu mengakibatkan kelindan lori, Mohd. Amirul Shazwan Arsyad, 21, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya, Mohd. Izamuddin Salahuddin, 21, cedera.

Sementara itu, pemandu treler berkenaan yang membawa muatan simen, K. Mani, 65, terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazir Abdul Rahman berkata, pihaknya membantu mengeluarkan pemandu yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident.

“Pemandu lori yang cedera parah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar manakala kelindan yang juga tersepit disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi tersebut tamat pada pukul 7.25 pagi. – JT

https://www.youtube.com/watch?v=r6vX38l81PE
(Visited 23 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

%d bloggers like this: