JANGAN PANIK, BARANG KEPERLUAN CUKUP DI JOHOR

JANGAN PANIK, BARANG KEPERLUAN CUKUP DI JOHOR

JOHOR BAHRU 081120 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor memberi jaminan semua barang keperluan di negeri ini cukup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, orang ramai tidak perlu bimbang atau membuat pembelian panik.

“Hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan, bekalan barang-barang keperluan adalah mencukupi dan mudah diperolehi. Jaminan ini termasuk di semua peringkat melibatkan pengilang, pemborong dan peruncit.

“KPDNHEP Johor juga mendapati tiada pembelian panik berlaku sejurus pengumuman PKPB oleh pihak kerajaan semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan semalam mengumumkan PKPB di dilaksanakan mulai esok hingga 6 Disember ini kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mohd. Hairul berkata, pemantauan KPDNHEP Johor juga mendapati tiada pembelian panik selepas pengumuman PKPB kerajaan semalam.

KPDNHEP Johor katanya, ingin menasihati orang ramai agar tidak membuat pembelian panik dan membeli barangan mengikut keperluan sahaja serta tidak membeli barangan yang berlebihan.

Para pengguna juga katanya, dinasihatkan agar terus mematuhi SOP dan nasihat–nasihat kesihatan yang ditekankan terutamanya ketika keluar mendapatkan barangan keperluan harian.

Katanya, 200 anggota Penguat Kuasa KPDNHEP di negeri ini akan sentiasa memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar bekalan asas dan harian adalah mencukupi bagi rakyat Johor.

Beliau memberitahu, berdasarkan rekod, 67,034 premis diperiksa KPDNHEP Johor di negeri ini dari 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.

Pada masa sama, beliau menasihatkan peniaga-peniaga di negeri ini agar mematuhi segala undang–undang perniagaan yang ditetapkan pihak Kementerian dan tidak mengambil kesempatan ketika tempoh PKPB.

Pengguna di Johor katanya, boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga sepanjang tempoh PKPB kepada pihak kementerian melalui talian 03–8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC) atau call centre 1800 886 800.

Selain itu Enforcement Command Centre (ECC) 03–8882 6245/6088; nombor aduan Whatsapp KPDNHEP 019–279 4317; Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my;
Aplikasi telefon pintar Ez ADU dan lapor atau hadir ke mana–mana Pejabat Cawangan Daerah KPDNHEP seluruh negeri. – JT

https://www.youtube.com/watch?v=r6vX38l81PE
(Visited 22 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

%d bloggers like this: