HASNI: BELANJAWAN PACU PEMULIHAN EKONOMI NEGARA

HASNI: BELANJAWAN PACU PEMULIHAN EKONOMI NEGARA

JOHOR BAHRU 061120 – Kerajaan negeri amat berbesar hati dengan peruntukan dalam Belanjawan 2021 untuk Johor yang bertujuan menjana peluang pekerjaan dan memacu pemulihan ekonomi menjelang 2021.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, antaranya insentif RM100 juta kepada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk program melengkapkan kemahiran baharu tenaga kerja yang terjejas akibat penutupan sempadan Malaysia-Singapura.

“Program reskilling dan upskilling ini tentu akan memartabatkan pembangunan modal insan, meningkatkan kebolehpasaran rakyat Johor dan memudahkan pencarian sumber pendapatan baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pihaknya turut menghargai projek infrastruktur diteruskan di negeri ini seperti Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Sistem Transit Rapid dari Johor Bahru ke Woodlands serta usaha perbincangan lanjut dengan Singapura berkenaan projek High Speed Rail (HSR).

Katanya, projek-projek infrastruktur itu amat penting bagi memudahkan pergerakan rakyat Johor, merangsang pembangunan kawasan baharu dan melonjakkan potensi Johor sebagai destinasi pelaburan serantau yang kompetitif.

Hasni berkata, Belanjawan 2021 yang bertemakan Teguh Kita, Menang Bersama secara jelas mengutamakan kesejahteraan rakyat di tengah-tengah kemelesetan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

“Pelbagai peruntukan untuk memelihara kebajikan golongan rentan melalui subsidi, bantuan dan insentif memaparkan komitmen kerajaan Persekutuan yang prihatin terhadap suara hati rakyat.

“Kesimpulannya kerajaan negeri ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang mengutamakan pemulihan ekonomi Johor dan penjanaan peluang pekerjaan bagi rakyat Johor dalam Belanjawan 2021,” katanya.

Beliau pada masa sama masih berharap kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan usaha membuka sempadan demi merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan, memudahkan mobiliti pekerja di samping meningkatkan kualiti ekosistem pelaburan di Johor.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan rakyat Johor sentiasa berdaya tahan dalam konteks pandemik semasa melalui Belanjawan Johor 2021 yang akan dibentangkan hujung bulan ini.

Belanjawan negeri itu katanya, akan mengutamakan kesejahteraan dan meningkatkan daya tahan rakyat terutama sekali golongan yang paling terkesan akibat pandemik berkenaan.

“Belanjawan Johor 2021 juga akan mengenalkan langkah-langkah baharu bagi memastikan dasar fiskal negeri yang realistik, lestari lagi berterusan, untuk masa hadapan Johor,” ujarnya. – VOICE

https://www.youtube.com/watch?v=r6vX38l81PE
(Visited 23 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

%d bloggers like this: