2 PASAR DI MASAI TURUT DITUTUP
PASIR GUDANG: Dua pasar awam di Masai, dekat sini ditutup sementara bermula esok sehingga Sabtu ini, sebagai langkah berjaga-jaga untuk membendung penularan wabak COVID-19.
Ia susulan, terdapat kes positif COVID-19 yang disahkan berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Masai, 9 Oktober lalu.
Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dalam satu kenyataan memaklumkan, dua pasar terbabit adalah Pasar Awam Masai dan Pasar Muafakat Sabah@Johor.
“Penutupan kedua-dua pasar itu berkuat kuasa bermula esok (12 Oktober) sehingga Sabtu (17 Oktober) sebagai langkah berjaga-jaga untuk membendung wabak kes COVID-19
“Segala aktiviti perniagaan adalah dilarang selama tempoh arahan penutupan. Kegagalan mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang penguatkuasaan tanpa sebarang notis,” menurut kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan MPPG lagi, langkah itu diambil selepas pihak berkuasa tempatan itu menerima makluman Kementerian Kesihatan mengenai penularan wabak COVID-19 berlaku di kawasan Masai.
Terdahulu, dua buah sekolah iaitu SK Masai dan Sekolah Agama As-Syakirin Masai turut ditutup selama tujuh hari bermula hari ini hingga 17 Oktober susulan pengesanan kes positif COVID-19 dikesan di sekolah berkenaan. – BH